Wanita dan kecantikan sangat sinonim. Dua-dua ini tidak akan terpisah dan
tidak boleh dipisahkan. Kecantikan adalah aset dan lambang kewanitaan.
Wanita yang berasa dirinya tidak cantik akan berasa
sedih dan merendah diri. Mereka mudah malu dan hilang keyakinan berhadapan
dengan orang ramai. Mereka seakan berasa persepsi orang terhadap mereka
buruk-buruk belaka.
Berbeza dengan wanita yang cantik. Langkah mereka penuh dengan gaya dan
bertenaga. Senyuman mereka tidak putus-putus menghiasi wajah. Sungguh
berkeyakinan. Mereka sentiasa yakin bahawa orang ramai suka melihat diri
mereka.
Pada sisi saya, sebagai seorang lelaki. Berbohong jika saya cakap tidak
tertarik dan suka kepada wanita yang cantik. Kerana itu memang lumrah seorang
lelaki. Dan itu juga satu sebab kenapa wanita sering menonjolkan kecantikannya.
Tapi ingat satu perkara...
"Wanita
yang tidak cantik luar tetapi cantik dalam masih lagi dapat dilihat
kecantikannya. Berbanding wanita yang cantik luar tapi buruk dalam, mereka
hodoh sebenarnya!"
Kecantikan dan Wanita
Kecantikan itu aset dan keagungan wanita. Ketahuilah bahawa kecantikan
seorang wanita bukan terletak pada wajahnya tetapi kelembutan jiwanya!
Saya tertarik satu rangkap daripada lirik lagu
"Sedarilah insan istimewa,
Bahawa kelembutan bukan kelemahan,
Bukan jua penghinaan dari Tuhan,
Bahkan sebagai hiasan kecantikan"
Apabila kecantikan pun perlukan perhiasan, maka kecantikan itu belumlah
sempurna. Maka kita tahu kecantikan itu tidaklah cantik tanpa kelembutan jiwa
dan tingkah lakunya. Rasulullah SAW juga pernah mengingatkan kita, bahawa paras
rupa juga bukanlah suatu nilaian yang hakiki. Fizikal bukanlah fokus pandangan
Ilahi tetapi ianya terletak di dasar hati seorang hamba.
Daripada Abu Hurairah Abd ar-Rahman bin Sakhr
RA katanya: "Rasulullah SAW bersabda :
"Sesungguhnya
Allah tidak melihat tubuh badan dan rupa paras kamu, tetapi dia melihat jantung
hati (niat) kamu."
(Hadis Riwayat Muslim)
Fikirkan
Cantikkah seorang gadis remaja yang sering melepak dan berpeleseran di
luar sana?
Cantikkah seorang isteri yang sering derhaka dan melawan cakap suami?
Cantikkah seorang ibu yang sering menengking dan mendera anaknya?
Cantikkah seorang wanita yang gemar mengeluarkan kata-kata keji dan kesat?
Cantikkah wanita yang berpakaian dan berperangai seperti lelaki?
Tidak walaupun sesekali.
Wanita yang hilang sifat kelembutan jiwanya akan menenggelamkan
kecantikan luarannya. Bahkan seorang wanita yang lembut jiwa, malu apabila dirinya
kelihatan cantik kerana lembut jiwa ia hanya menumpu kasih pada bakal sang
suami. Bukan lelaki ajnabi. Mereka tidak rela 'cantik' mereka dinodai oleh
mata-mata asing. Hatta lelaki yang bersifat 'kaki perempuan' juga lebih memilih
seorang wanita yang bijak dalam tindakannya, indah tutur bicaranya dan mulia
perilakunya.
Jangan cemburu apabila diri mu tidak cantik duhai wanita kerana cantikmu
bukan di situ. Tetapi di dalam hati. Lelaki yang baik akan menilai hatimu yang
cantik bukan rupamu.
"Pandangan
mata selalu menipu
Pandangan akal selalu
tersalah,
Pandangan nafsu selalu
meluluh,
Pandangan hati itu yang
hakiki,
Jika hati itu bersih..."
Hiraukan kata-kata cemuhan dan sindiran. Kerana mereka buta mata hati.
Percayalah hanya jodohmu akan bijak menilai dirimu. Justeru, tidak perlu
bersusah payah bersolek sebelum nikah, tetapi bersusah payahlah untuk membina
'cantik' serinya yang bermula dari hati.
Sesungguhnya hati yang bersih akan mencerminkan keindahan peribadi,
dengan cerminan itulah dirimu lebih cantik daripada wanita yang hanya cantik
dipandang semata-mata namun 'kurang cantik' dalam menghiasi diri dengan
kemuliaan akhlak.
Senyumlah, dan jadilah wanita yang cantik pada pandangan Allah.
No comments:
Post a Comment